Bantah bina kiosk e-kasih

Press Clipping

IPOH – Rata-rata penduduk Taman Rishah Silibin membantah pembinaan kiosk di bawah program e-kasih yang dibangunkan di bahagian tepi jalan Raja Perempuan Mazwin kerana kedudukannya didakwa mendatangkan bahaya kepada pengguna. 

Seorang penduduk yang ditemui, Zakaria Nordin, 45, berkata, hampir semua penduduk di sini dan kawasan berhampiran tidak bersetuju dengan projek itu kerana kedudukannya di bahagian selekoh jalan raya. 

Menurutnya, kedudukan gerai yang agak dekat dengan jalan itu tidak sesuai kerana jalan berkenaan tidak mempunyai garisan berkembar dan bonggol menyebabkan kebanyakan kenderaan sering dipandu laju. 

“Jika projek berkenaan diteruskan ia boleh mendatangkan bahaya kepada banyak pihak, bukan sahaja individu yang bakal menjalankan perniagaan tetapi dalam masa yang sama pengunjung dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sehingga kini hampir 60 penduduk di kawasan taman berkenaan membuat bantahan. 

Jalan itu adalah jalan utama yang menjadi tumpuan orang ramai kerana ia turut menghubungkan kawasan Buntong, Menglembu dan Falim, dan itu antara sebab penduduk membantah. 

“Hampir lapan tahun saya pernah cuba mohon lesen berniaga di kawasan berkenaan, namun tidak diluluskan kerana ia tanah rizab jalan. 

“Tapi bagaimana projek membina kiosk ini boleh diluluskan sedangkan semua tahu bahawa kawasannya tidak sesuai,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, M Saraswathy, turut mempersoalkan projek yang diluluskan di situ. 

“Seharusnya pihak berkuasa tempatan (MBI) mengambil langkah keselamatan di peringkat awal sebelum projek berkenaan dilaksanakan. 

“Kebanyakan penduduk mahu supaya MBI adakan satu sesi dialog bersama mereka agar sama-sama boleh berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku,” katanya. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim yang ditemui berkata, perkara itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil. 

“Bagaimanapun, jika setelah diselidik ia didapati betul boleh mengundang bahaya kepada orang ramai, projek itu akan diubah,” katanya.

Related Articles

Program

Sumbangan Kewangan

Dalam memberi sokongan kepada PSM, saudara/saudari memberi sokongan kepada usaha membina Malaysia yang lebih saksama melalui proses demokrasi. PSM tidak mempunyai apa-apa sokongan hebat dari korporat. PSM hanya ada sokongan dan komitmen rakyat biasa.

Nama Akaun: Parti Sosialis Malaysia
No. Akaun: 512080337313
Bank: Maybank
Cawangan Bank: Subang Perdana, Subang, Selangor, Malaysia
Swift Code: MBBEMYKL
Contact: sivarajan.a@gmail.com

Video